Featured post

TANGGUNGJAWAB KELUARGA

TANGGUNGJAWAB KELUARGA P eranan Dan Tanggungjawab Ahli Keluarga     Tanggungjawab ialah peranan yang harus dilakukan oleh setiap indi...

Wednesday, 19 October 2016

KELUARGA BAHAGIA

Dalam kehidupan berkeluarga, kita sering sekali mendengar istilah Sakinah, Mawaddahdan wa Rahmah. Ketiga kata tersebut sering dikaitkan dengan keluarga yang harmonis.Mungkin dari kita belum mengetahui makna dari Sakinah, Mawaddah dan wa Rahmah.Pengertian keluarga (Kamus Dewan, Edisi Keempat) bermaksud seisi keluarga yang terdiri dari pada suami, isteri dan anak, manakala bahagia pula bermaksud suasana senang dan aman manakala Islam pula adalah agama yang selamat dan secara keseluruhan maksudnya ialah pembinaan sebuah kehidupan yang bahagia berlandaskan tuntutan agama yang benar.
              Perkawinan amat dituntut dalam Islam. Ia dapat mengembangkan institusi sosial, selain merupakan saluran yang betul untuk meluahkan  rasa kasih sayang seorang individu kepada individu lain yang berlainan jenis pada jalan yang dibenarkan syara
Hidup berkeluarga adalah kehendak semula jadi manusia, setiap orang akan berusaha untuk mendapat pasangan hidup yang sesuai dengannya bagi menjamin keharmonian hidup berkeluarga. Pembinaan sesebuah keluarga bermula dari perkahwinan 

CIRI CIRI KELUARGA DIIMPIKAN

“Rumahku, syurgaku” merupakan ungkapan keramat yang memanifestasikan peri pentingnya setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya. Dalam sebuah keluarga yang bahagia, nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus diamalkan dalam sesebuah keluarga. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Oleh itu, kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan.

           Sesungguhnya setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipan masing-masing demi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan bekalan yang terbaik kepada anak-anak seperti ilmu pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak pada  era globalisasi ini semakin cepat menerima  apa-apa yang dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibaja dengan perkara yang baik dan berfaedah serta membuahkan hasil. Anak-anak umpama sehelai kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi sehelai kain batik yang cantik lagi menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah  yang  menjadi guru mereka kerana merekalah guru yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah ibu dan bapa kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal ini dapat diibaratkan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Haruslah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada yang akan menjejaki langkah mereka. Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa haruslah membentuk sahsiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dari segi fizikal mahupun rohani mereka dan ciri keluarga beginilah yang menjadi impian saya.

         Selain itu, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka yang mana intan, yang mana  kaca, iaitu mereka bijak membezakan antara perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh sifat anak-anak yang naif lantas tidak berupaya membezakan antara perbuatan  yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam konteks ini  ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka  tentang realiti menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas sehingga terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila yang meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan yang buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan masa depan mereka. Tidak cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena. Sebaliknya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain melayan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa juga perlu memastikan  anak-anak memperoleh didikan agama yang mantap sejak anak-anak masih kecil lagi kerana tanpa pegangan agama yang kukuh mereka akan tersesat seperti layang-layang terputus talinya. Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh belantara kehidupan. Dalam benak  saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang menjadi idaman saya.
         Anak-anak akan kehilangan semangat untuk melakukan sebarang kerja seharian jika ibu bapa tidak meluangkan masa dengan  mereka walaupun hanya untuk bertanyakan khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga tidak bererti  mereka hanya melakukan aktiviti di luar rumah, bahkan usaha tersebut  boleh juga dilakukan di dalam rumah sepeti membincangkan masalah yang membelenggu pemikiran anak-anak di samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap anak-anak  dengan bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan pelajaran di sekolah dan kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sikap rakus dalam mengejar fatamorgana  dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab  terhadap anak-anak. Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi tetapi kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah penting bagi menjana keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa mencari rezeki pada  siang hari, tetapi jika sering pulang lewat petang sehingga mengabaikan makan minum anak-anak, tentu mereka akan  makan hati. Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang kurang memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau bagaimanapun, ibu bapa haruslah meluangkan masa mereka bersama dengan anak-anak  agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga bahagia.
         Menjadi anak yang derhaka ialah perkara yang dilarang sama sekali dalam mana-mana ajaran agama. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu bapa mereka. Anak-anak hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan mendapat  keputusan yang cemerlang kerana pencapaian tersebut dapat membanggakan ibu bapa untuk membalas jasa mereka. Anak-anak seharusnya memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah. Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa, bukannya menjadikan diri mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak sepatutnya jasa ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan  begitu sahaja. Sebagai insan yang bergelar anak  kita haruslah mengenang jasa mereka kerana kita ditegah untuk menjadi seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita umpamaanak emas, mengapa kita sebagai anak tidak boleh melakukan hal yang sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak untuk menghargai seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan  ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa,siapakah kita pada hari ini? Akhir sekali,anak-anak harus mentaati perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina. Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang menjadi impian saya.
         Haruslah menjadi kewajipan dalaminstitusi kekeluargaan untuk saling hormat menghormati  antara satu sama lain. Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan, terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina. Ahli keluarga haruslah  bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik, haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang, malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah. Kita haruslah mengamalkan sikap berat sama dipikulringan sama dijinjing dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Tegasnya, saya mengimpikan ahli keluarga yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan  untuk membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.
         Kesimpulannya,  itulah antara ciri keluarga yang menjadi impian saya, terutamanya setelah saya dewasa dan membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan pasangan yang menjadi suri kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model mereka. Dengan keizinan daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan tercapai. Lebih jauh lagi, saya mestiberusaha dengan penuh kesungguhan agar impian tidak tinggal sebagai mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah kejayaan. Semoga fajar yang  menyingsing pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang  memberikan sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya.

CARA CARA MEMBENTUK `KELUARGA

Selain itu, dalam keluarga mesti ada sikap menghormati antara ahli keluarga. Sikap hormat-menghormati ini akan dapat mengelakkan konflik dalam keluarga. Oleh itu, anak­anak mesti menghormati ibu bapa pada setiap masa dengan tutur kata dan perbuatan yang balk. Anak yang lebih muda pula wajar menghormati abang atau kakak yang lebih tua.
Kesihatan ahli keluarga juga memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga bahagia. Ibu bapa mesti memastikan kesihatan ahli keluarga berada dalam keadaan yang baik. Aka terdapat ahli keluarga yang sakit, ibu bapa mesti segera membawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Aspek kebersihan dalam rumah dan persekitaran juga perlu diambil berat oleh ibu bapa dan anak-anak.
Selain menyediakan keperluan asas, ibu bapa juga mesti memberikan pelajaran kepada anak-anak. Pelajaran amat penting kepada anak-anak kerana anak-anak yang berpelajaran tinggi akan mendapat pekerjaan yang baik. Ibu bapa juga perlu memberikan anak-anak pendidikan agama dan moral bagi membentuk sahsiah diri yang baik. Sesungguhnya, keluarga yang berpelajaran tinggi dapat membantu pembangunan negara.
Keluarga yang bahagia akan dapat dibentuk jika keselamatan anggota keluarga terjamin. Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan keselamatan anak-anak terjaga ketika berada di rumah mahupun di luar rumah. Keselamatan harta benda keluarga juga perlu dijaga dengan balk. Kemalangan yang berlaku bukan sahaja akan menyusahkan anak-anak tetapi juga turut menyusahkan ibu bapa.
 Pembentukan keluarga yang bahagia akan memberikan kesan positif kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat saya, dalam membentuk sebuah keluarga bahagia, ibu bapa dan anak-anak mesti saling memahami dan bertanggungjawab. Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan dalam membentuk keluarga bahagia dengan mengadakan Kempen Keluarga Bahagia melalui media massa seperti stesen televisyen dan radio.

CIRI CIRI KELUARGA BAHAGIA

 Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula jadi yang unik dengan deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu menjadikan industri pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika alam semula jadi itu dieksploitasi sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke negara kita sejak belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menarik kedatangan pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, menyarankan agar tugas menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja. Saya berpendapat bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelancong mengunjungi Malaysia dan tinggal di negara ini. 



            Antara faktor utama pelancong datang di sesebuah negara ialah adanya kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkap kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak  pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. 



            Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, dan sebagainya turut menjadi faktor penting dalam menarik ramai pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana ini akan menentukan sarna ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap,  hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. 



            Kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat- tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan mewujudkan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada tahun lalu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam nenarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada suatu hari kelak.

            Kepelbagaian kebudayaan dan adat resam penduduk tempatan juga dapat menarik banyak pelancong datang ke negara ini. Malaysia yang memang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan seperti tarian Melayu, India, Cina, dan suku kaum di Sabah serta Sarawak mampu menghiburkan pelancong, khususnya kepada pelancong yang gemar kepada sesuatu yang baru. Kebanyakan pelancong memang gemar melihat kehidupan masyarakat di sesuatu tempat. Rumah Budaya di Kuching, Sarawak menempatkan pelbagai jenis rumah dan kebudayaan suku kaum di negeri berkenaan dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana. Kementerian terbabit harus menjadikan pelbagai budaya yang unik di negara kita sebagai daya tarikan utama dalam membangunkan industri pelancongan dengan rnemperkemas persembahan yang sedia ada. 



            Mengadakan promosi di luar negara juga merupakan langkah yang wajar dilakukan oleh LPPM dalam usaha menarik lebih banyak pelancong mengunjungi negara ini. Pelbagai aktiviti seperti rnengadakan Minggu Malaysia di beberapa buah negara di seluruh dunia dan acara pertukaran delegasi kebudayaan dengan negara tertentu adalah antara usaha berkesan memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing. Tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan membuka pusat penerangan di beberapa buah negara membuktikan bahawa usaha yang berterusan telah dilakukan dalam menarik pelancong. Buktinya, program seperti Tahun Melawat Malaysia (TMM) ternyata berjaya menarik ramai pelancong datang ke negara ini, sekali gus memberi keuntungan besar melalui tukaran mata wang asing. Promosi pula perlu dipertingkat bagi menarik kehadiran pelancong walaupun terpaksa rnembelanjakan wang yang besar, namun pulangannya juga lumayan.



            Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha menarik pelancong datang ke negara ini. Oleh itu, pihak terbabit harus memikirkan kaedah lain yang lebih berkesan, mudah, dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar sejajar dengan keadaan ekonomi negara yang meruncing dewasa ini. Jadi, tanggungjawab untuk mempromosi keunikan dan keindahan alam semula jadi negara kita kepada pelancong harus dikongsi bersama kerana rakyat juga akan mendapat manfaatnya. Industri pelancongan di negara ini akan terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara jika diusahakan secara lebih profesional.

KELUARGA BAHAGIA

Keluarga bahagia adalah menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua keluarga. Keluarga bahagia menjadi terminal untuk membangunkan sebuah masyarakat yang sihat sama ada dalam aspek mental, fizikal, emosi mahupun sahsiah. Namun demikian, bukan semua impian untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni boleh mencapai matlamat. Sekiranya semua impian boleh dicapai dengan begitu mudah, nescaya tiadalah keluarga yang pincang dan terbentur kecundang ditelan gelombang. Walaupun, tanggungjawab membangunkan keluarga yang harmoni terletak atas kebijaksanaan ibu bapa, namun anak-anak turut tidak terkecuali. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang harmoni, anak-anak haruslah bersikap positif dan turut memainkan peranan agar keluarga yang dibina menjadi keluarga progresif, harmoni, dan sejahtera.

Strategi penting untuk menjayakan matlamat di atas, anak-anak hendaklah menjadi seorang insan yang patuh kepada agama dan taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana sikap tersebut amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun budaya. Oleh itu, jadilah anak-anak penawar hati dan pelunak perasaan kepada ibu dan ayah. Hormati dan taatilah ibu bapa kerana kesejahteraan dunia dan akhirat adalah dengan redha ibu bapa. Apabila ibu bapa dipatuhi manakala perintah Tuhan ditaati nescaya lahirlah insan sempurna sama ada peribadi mahupun nurani . Sesungguhnya, inilah watak yang menjadi resepi lengkap untuk mewujudkan keharmonian dalam harapan menjadikan “Rumahku Syurgaku”.

Selain itu, anak-anak yang baik adalah yang mulia budi perkerti dan bermoral tinggi. Budi pekerti dan moral sentiasa menjadi pakaian peribadi. Apabila elok pekerti nescaya terserlahlah nilai-nilai insani. Sudah sewajarnya, anak-anak mencerminkan diri dengan akhlak dan sopan santun, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, hiasilah diri dengan kelembutan hati dan kesederhanaan sikap sebagai penyuluh pekerti kita. Hormatilah setiap ahli keluarga dengan yang tua dihormati, manakala yang muda disayangi. Seandainya, karekter seperti ini kekal diperkasakan, insya-Allah lahirlah sebuah keluarga yang harmoni, ibarat di air yang bening terpancar bayang yang jernih.

Sikap ringan tulang dan keletah yang ada pada sesetengah anak merupakan kriteria yang amat baik untuk membentuk keluarga yang harmoni. Anak-anak seperti ini tidak pernah berkira sama ada tenaga mahupun penat lelah dalam memberi khidmat kepada keluarga. Mereka mudah mesra dan cepat peka terhadap segala kerenah dalam keluarga. Ketiadaan mereka di rumah amat dirasa oleh semua ahli keluarga. Malahan ada ketika wujud salah faham apabila anak-anak seperti ini dianggap anak emas pula. Sepatutnya inilah sikap yang wajar ditunjukkan oleh anak-anak sebagai tanda membalas budi ibu bapa di samping mengikat hubungan mawaddah dengan ahli keluarga yang lain. Sebagai anak, ingatlah akan kelahiran kita ke dunia adalah atas limpahan darah, peluh dan air mata seorang ibu. Dengan hal yang demikian, balasi ibu bapa dengan sikap ringan tulang demi sebuah keluarga yang harmoni dan prihatin.

Resam hidup, patah tumbuh hilang berganti. Sampai waktu ibu bapa akan berlalu pergi, justeru anak-anak pula yang mengambil giliran. Memahami situasi hukum alam itu, anak-anak wajar bersedia untuk mengambil tanggungjawab. Tanggungjawab seperti menjaga rumah tangga, menghubungkan silaturahim dengan adik beradik dan menjaga maruah serta nama keluarga amatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun. Seandainya, nilai-nilai murni ini boleh diperkasakan sudah pasti keharmonian dalam rumah tangga akan terbentuk. Anak-anak seyogia perlu berpandangan jauh kerana segala sikap mereka menjadi cermin kepada ibu bapa kerana mengenal batang (perdu) lihatlah pada daunnya. Janganlah terjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa diri ibarat buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Oleh itu, sebagai anak yang baik bersedialah untuk mengambil tanggungjawab untuk mengharmonikan  keluarga.

Bertolak ansur dan saling memahami menjadi sebahagian resepi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni. Oleh hal yang demikian, dalam kalangan anak-anak wujudkan sikap saling bertoleransi supaya keluarga beroleh aman dan tenteram. Daripada sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling menghargai antara satu sama lain. Tiada masalah salah faham dan salah anggap kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir. Sesama adik-beradik jalinan hormat dan kasih ibarat isi dengan kuku. Sebarang perbuatan yang boleh menyakiti darah daging sendiri tidak lebih daripada cubit peha kiri peha kanan pun sakit juga. Seandainya wujud salah faham pun, carilah jalan penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan adik-beradik ibarat air dicencang tidak akan putus. Oleh itu, setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk menjaga dan memupuk institusi yang tertua dalam sejarah manusia ini agar terus subur dengan sifat kasih sayang, harmoni dan penuh mawaddah.

Sesungguhnya, keluarga yang harmoni menjadi teras kepada masyarakat yang dinamik. Sikap penyayang ibu bapa dan tingkah laku yang positif dalam kalangan anak-anak menjadi wadah utama untuk membina keluarga yang harmoni. Oleh itu, sebagai anak, berilah sumbangan yang terbaik agar keluarga memperoleh kebahagiaan. Ingatlah pada pesanan, “Keluarga bahagia penjana kecemerlangan ummah”.

KESAYANGAN KELUARGA

NGGOTA  KELUARGA  MERUPAKAN  ORANG  YANG  PALING  PENTING  DALAM HIDUP KITA.SESEBUAH  KELUARGA  BIASANYA  TERDIRI  DARIPADA  BAPA,IBU DAN ANAK-ANAK.KELUARGA  INI  DINAMAKAN  KELUARGA  ASAS.SELAIN KELUARGA  ASAS,TERDAPAT  JUGA  ANGGOTA  KELUARGA  KEMBANGAN  YANG  TERDIRI  DARIPADA  DATUK,NENEK,BAPA  SAUDARA,SEPUU,DAN  ANGGOTA  KELUARGA  LAIN.

          KITA  SEHARUSYA  MEMAHAMI ANGGOTA  KELUARGA  SENDIRI.KITA  SEPATUTNYA MENGETAHUI  MAKANAN,MINUMAN,PAKAIAN,WARNA  KEGEMARAN  DAN HOBI  MEREKA.SELAIN  ITU,KITA  JUGA  SEPATUTNYA  MENGETAUI  PERLAKUAN  YANG  DISENANGI  DAN  TIDAK  DISENANGI  OLEH ANGGOTA  KELUARGA .HUBUNGAN  KEKELUARGAAN  AKAN  LEBIH  KUKUH  DAN  MESRA  APABILA  ANGGOTA  KELUARGA  SALING  MEMAHAMI  ANTARA  SATU  SAMA  LAIN.PERSEFAHAMAN  YANG  TERJALIN  INI  JUGA  DAPAT  MENGELAKKAN  KITA  DARIPADA  MENYAKITI  HATI  DAN MENYINGGUNG  PERASAAN  ANGGOTA KELUARGA.  

                 SEBAGAI  ANGGOTA  KELUARGA,KITA JUGA  MESTI MENYAYANGI  ANTARA  SATU  SAMA  LAIN.KITA  BOLEH  MENUNJUKKAN  KASIH  SAYANG  DENGAN  BERKONGSI  MASA  SUKA  DAN DUKA  BERSAMA  ANGGOTA KELUARGA.KITA  MESTI  MENGHORMATI  ANGGOTA  KELUARGA  TERUTAMA  YANG LEBIH  TUA  SEPERTI  DATUK,NENEK,AYAH,IBU,ABANG, DAN KAKAK.PERTUTURAN  DAN TINGKAH LAKU  KITAJUGA  MESTILAH  SENTIASA  BERSOPAN  SEMASA  BERINTERAKSI  DENGAN  ANGGOTA  KELUARGA.KITA  JUGA  MESTI  AKUR   DAN  PATUH  DENGAN  NASIHAT  DAN  LARANGAN  KELUARGA.KITA  SEWAJARNYA  BERSYUKUR  KEPADA  TUHAN  KERANA  DIANUGERAHI  SEBUAH  KELUARGA.

Tuesday, 18 October 2016

RAHSIA MEMBINA RASIA


Setiap insan yang hidup di atas muka bumi ini pasti mengimpikan untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni, tetapi apa yang sedihnya tidak semua orang memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Di manakah silapnya dan siapakah yang harus di persalahkan jika kita hidup di dalam sebuah keluarga yang saling berantakan dan benci membenci antara satu sama lain.

Setiap individu itu sendiri perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan "KELUARGA" dan "BAHAGIA" sebelum menyimpan impian untuk memiliki kedua-duanya. Ada indivdu yang terlalu obses untuk memiliki sebuah keluarga bahagia tetapi malangnya individu itu sendiri tida tahu apa itu keluarga dan apa itu bahagia.
 

DEFINISI KELUARGA

Keluarga berasal dari bahasa Sansekerta: kula dan warga "kulawarga" yang berarti "anggota" "kelompok kerabat". Keluarga adalah lingkungan di mana beberapa orang yang masih memiliki hubungan darah, bersatu.

Keluarga adalah dua atau lebih dari dua individu yang tergabung karena hubungan darah, hubungan perkawinan atau pengangkatan dan mereka hidupnya dalam suatu rumah tangga, berinteraksi satu sama lain dan didalam perannya masing-masing dan menciptakan serta mempertahankan suatu kebudayaan.(Menurut Salvicion dan Ara Celis).

Dari pengertian di atas dapat diambil kesimpulan bahwa keluarga adalah : - Unit terkecil dari masyarakat - Terdiri atas 2 orang atau lebih - Adanya ikatan perkawinan atau pertalian darah - Hidup dalam satu rumah tangga - Di bawah asuhan seseorang ketua rumah tangga - Berinteraksi diantara sesama anggota keluarga - Setiap anggota keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing - Diciptakan, mempertahankan suatu kebudayaan.




APA ITU BAHAGIA?

Istilah "bahagia" itu adalah suatu perkara yang unik dan terlalu seni untuk didefinisikan secara tepat, apatah lagi jika ia ditakrifkan oleh bermacam orang yang sudah tentu bermacam-macam pula ragamnya. Hanya dengan menggunakan kaca mata Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah sahaja definisi bahagia itu dapat dirungkaikan dalam bentuk amalan, sekalipun ianya tidak berjaya diungkaikan oleh lidah yang tidak bertulang berupa sesuatu lafaz atau ucapan kata-kata. Bahkan kalau dikira, definisi yang dirungkaikan dalam bentuk praktik itulah yang lebih tepat dari definisi yang berjaya diungkaikan dan diungkapkan melalui kata-kata atau ucapan.

Sebagai contoh: Orang miskin akan mentakrifkan kebahagiaan itu berdasarkan kekurungan yang ada pada dirinya yang ia terlalu ingin untuk milikinya dari segi harta benda dan kemewahan,sedangkan orang kaya yang sudahpun bermewah-mewah dalam kehidupan, kadang-kadang melihat bahawa kehidupan simiskin lebih bahagia berbanding dirinya.

Jadi, apakah yang mereka ingin nyatakan tentang takrif kebahagiaan itu sebenarnya? Ini bermakna rasa bersyukur dengan kemewahan dan reda dengan kemiskinan sahaja, masih belum cukup untuk mentafsirkan makna kebahagiaan. Pendek kata kebahagiaan itu bukanlah apa yang dinilai oleh nafsu yang suka kepada kehidupan serba mewah, bukan juga oleh jasmani kita yang kadang-kala tertipu oleh kebuasan nafsu lalu hidup merana dan menderita, bahkan bukan juga terletak kepada kepintaran akal yang memikirkan akan betapa patutnya menggapai cabang-cabang kebahagiaan yang dianggapnya sebagai tempat yang paling patut untuk berpaut. Sekaligus bukan pula takrif yang didendangkan oleh hati yang kadang-kadang berlaku seperti pepatah Melayu : "Ikut hati mati, ikut rasa binasa".
 


AL-QURAN DAN KELUARGA BAHAGIA

Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia. Firman Allah SWT :

Maksudnya: 

"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". (Surah Al-Ahzaab : Ayat 74).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik dari segala yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW. 

Ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.

Demikian juga dari sudut kehidupan berkeluarga. Umat Muhammad SAW hendaklah mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh penghidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat nanti. Ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan kebahagiaan hidup di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini.

Tiada yang terlebih bahagia kecuali kebahagiaan hidup berkeluarga yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Cuma apa yang mungkin menyebabkan penilaian manusia itu berbeza-beza tentang konsep bahagia itu, ada hubung kait dengan tahap keislaman, keimanan dan ketakwaan masing-masing. Maknanya untuk menerima baik hakikat kehidupan Rasulullah SAW itulah yang terbaik dari yang terbaik, berkait rapat dengan ‘maqam’ atau martabat masing-masing dari sudut keislaman, keimanan dan ketakwaan.

Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam atau martabat keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu. 

Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa kebahagiaan yang hakiki itu adalah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khulafaur Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit.

Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. Al-Quran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. 

Ini jelas apabila Ummul-Mukminin Saiyiditina ‘Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: "Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran".

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 74, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia, manakala Rasulullah SAW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki.

KESIMPULAN

Keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dan dihiasi oleh sepak terajang anak-anak adalah satu institusi yang perlu kepada pentadbiran yang betul yang boleh menjamin kehidupan yang rukun, aman dan damai. Manakala suasana "Keluarga Bahagia" yang menjadi idaman semua manusia adalah matlamat yang ingin dicapai dengan apacara sekalipun. Cuma apa yang cuba dicari kadang-kadang begitu kabur apabila penilaian terhadap erti kebahagiaan itu sendiri menghadapi masalah akibat dari permasalahan yang dihadapi oleh manusia dari sudut ketiga-tiga elemen penting yang kita huraikan sebentar tadi.

Namun apa yang dapat kita titipkan melalui catatan yang serba ringkas ini dalam mendambakan kehidupan yang bahagia dalam institusi keluarga ialah; kesediaan kita untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang baik dalam segala agenda hidup kita, tanpa mempertikaikannya sedikitpun. Bilamana kita merasa kehidupan contoh (mithali) yang di tunjukkan oleh Baginda tidak dapat kita terima, atau gagal kita ikuti, itu bukan bermakna kita perlu mencari alternatif lain dalam mencari kebahagiaan hidup. 

Tapi apa yang perlu kita lakukan ialah mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, segala apa yang disuruh buatlah dengan kemampuan yang maksima, demikian pula apa yang dilarang hendaklah kita jauhi, hindari dan tinggalkan sama sekali dengan penuh rasa kesedaran dan keinsafan demi memperolehi keredaan Allah SWT.

Mempertingkatkan kualiti keislaman, keimann dan ketakwaan kita adalah diiktiraf sah sebagai anak kunci sebuah kebahagiaan yang hakiki. Oleh itu terpulanglah kepada kita sejauhmana ikhlasnya niat kita dan juga usaha upaya kita untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan "Kalamullah" dan berpandukan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah SWT yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya.

Ciri-Ciri Keluarga Bahagia

Kenalpasti Ciri-Ciri Keluarga Bahagia 

Walaupun suami atau bapa merupakan ketua kepada sebuah keluarga dan menjadi tanggungjawab mereka untuk melaksanakan tugas memimpin keluarga. Namun, anda sebagai isteri atau ibu haruslah sama-sama memainkan peranan dan membantu suami anda memimpin keluarga. Pastinya kehidupan anda akan lebih tenang sekiranya keluarga yang anda bina adalah keluarga yang bahagia.
Ciri-ciri Keluarga Bahagia:
  • Menginap dalam rumah yang selamat dan sempurna.
  • Mempunyai pendidikan yang mencukupi.
  • Mengamalkan cara hidup sihat seperti makan secara sihat,bersenam,tidak merokok dan tidur yang mencukupi.
  • Berkomunikasi dan berinteraksi secara positif.
  • Menunaikan peranan dan tanggungjawab masing-masing.
  • Mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi.
  • Mengamalkan nilai agama dan moral.

Cara Membina Keluarga Bahagia:
Ibubapa sendri perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak kerana mereka merupakan golongan yang paling kerap berada dengan anak-anak. Tutur kata yang sopan dan lemah lembut dengan pasangan dan juga anak-anak perlu diterapkan dalam diri.
Elakkan sikap negatif seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri di depan anak-anak. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka. Perlakuan anak-anak sememangnya mencerminkan didikan kita sebagai ibu bapa.

2. Mengawasi Aktiviti Anak-Anak
Anak-anak yang sedang membesar semestinya banyak terpengaruh dengan rakan sebaya kerana darah muda membuatkan mereka memberontak untuk melakukan perkara yang baru. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak kerana sebuah keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya.

Sudah semestinya pada zaman pemodenan ini,tugas ibu bapa mencari rezeki sememangnya mencabar. Kadangkala tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak diabaikan kerana sibuk mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.
Anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Sudah pasti anak-anak akan gembira sekiranya anda sebagai ibu bapa menunjukkan kasih sayang dan meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak.


Contohnya anda boleh menemani anak anda melakukan aktiviti yang disukai seperti bermain,berjalan-jalan atau juga membawa mereka bercuti mahupun berkelah. Pastinya tindakan ini akan merapatkan lagi hubungan anda bersama anak-anak. Tidak mustahil keluarga bahagia dapat dibina sekiranya ibu bapa betul-betul mementingkan masa bersama anak-anak.

4. Memberikan Didikan Agama Dan Moral Yang Mencukupi
Pelbagai kes sosial yang berlaku pada remaja zaman sekarang pastinya merisaukan anda sebagai ibu bapa apatah lagi jika anak anda sedang meningkat dewasa. Oleh itu,berikan didikan agama dan moral yang mencukupi kerana ia dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan anak-anak sekaligus menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga bahagia. Bagi ibu bapa pula,kesabaran yang tinggi diperlukan untuk mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai.

Wujudkan suasana dan sikap saling menghormati antara satu sama lain di kalangan anak-anak dan ahli keluarga anda. Jangan biarkan mereka meninggikan suara dan juga memanggil antara satu sama lain dengan panggilan untuk kawan. Selain itu,sikap saling membantu juga perlu diterapkan. Contohnya jika anak sulung anda pandai dalam subjek Matematik,dia haruslah membantu adik-adiknya yang lemah dalam pelajaran tersebut.

Komunikasi merupakan salah satu cara membentuk keluarga bahagia. Ini adalah kerana komunikasi yang salah akan menimbulkan pelbagai impak yang tidak baik kepada keluarga seperti bergaduh dan bercerai.
Sekiranya anda dan pasangan menghadapi konflik,luahkan segala masalah yang dihadapi dan berbincang secara terbuka agar konflik dapat ditangani dengan cara yang paling baik. Berikan ruang kepada pasangan untuk meluahkan pandangan dan jadilah pendengar yang baik kepada pasangan anda.

Kesimpulan
Setiap ahli dalam keluarga perlulah memainkan peranan untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Sikap tolak ansur,hormat-menghormati, dan saling memahami perlu dipupuk kerana keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan maju.

PERANAN IBU BAPA DALAM PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA


Pendahuluan:
•Keluarga merupakan  institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat.
•Keluarga juga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang
•Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang antara ahlinya.
•Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucap.
•Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta kepada insan lain yang memerlukan.
•Baiti Jannati’ atau ‘Rumahku Syurgaku’ - rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.
•Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya. Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik-beradik yang memahami akan membentuk jati diri yang sempurna dalam kalangan ahli keluarga itu.
•Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling menghormati antara mereka. Apabila sifat ini dapat diwujudkan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat diwujudkan.
Persoalannya………………..

Isi

1. Sebagai suri teladan kepada anak-anak
- Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak.
-Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bapa borek, anak rintik.
-Contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak, seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan dalam kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka.

2.Melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan
-Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka.
-Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan.

3.Memberikan perhatian dan kasih sayang/meluangkan masa
-Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.
- Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Hukuma-hakama Arab pernah mengatakan anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka.
- Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan
.
4. Memberikan didikan agama dan moral
- Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadangkala tidak munasabah.
- Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

5.Mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan anak-anak
- Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya. Anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah kehinaan jika mendapat pemantauan yang rapi daripada ibu bapa kerana perbuatan mereka itu akan menconteng arang ke muka ahli keluarga dan sekali gus akan meruntuhkan kebahagiaan yang dikecapi

6.setiap ahli keluarga saling menghormati antara satu sama lain.
-Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung.Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni,aman dan damai.Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga,mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita  dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina.Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek Matematik,haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang,malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah.Kita haruslah mengamalkan sikap "berat sama dipikul ringan sama dijinjing"dan "ke gunung sama didaki,ke lurah sama dituruni".Tegasnya,setiap ahli keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga

Penutup
- Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Jika pincang keluarga maka pincanglah masyarakatnya. Semoga impian negara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang akan dapat direalisasikan demi kebaikan barsama